TAWAU – Kolaborasi pintar antara Jabatan Penjara Malaysia dan sektor swasta di negara ini membolehkan 392 Orang Diparol (ODP) mendapat pekerjaan pada tahun ini.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara Datuk Jamaludin Saad berkata kesemua ODP itu mendapat pekerjaan di tujuh syarikat termasuk Top Glove Sdn Bhd, Lypometal, Alps, Felcra dan Felda.
“Daripada jumlah itu juga hanya 105 ODP masih menjalani parol dan selebihnya telah bebas.
“Ini juga merupakan antara inisiatif tranformasi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri membantu penghuni dan bekas penghuni penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Mesej Dari Penjara peringkat Sabah yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri yang juga wakil rakyat Balung, Datuk Seri Syed Abas Syed Ali di sini, hari ini.
Sejak program parol diperkenalkan pada 2008, Jamaludin berkata 97 peratus daripada 17,699 ODP mendapat pekerjaan manakala tiga peratus yang tercicir itu ekoran sakit, uzur tua serta wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa.
Dalam pada itu, katanya setakat ini penerimaan daripada majikan terlibat adalah positif dan pihaknya turut berharap mendapat kerjasama daripada syarikat swasta lain supaya bidang pekerjaan itu diperluaskan mengikut kemahiran serta kesesuaian ODP.
“Pihak kami terus berusaha untuk membangunkan semula insan penghuni penjara tetapi sokongan pihak luar cukup penting kerana bekas banduan ini akan kembali dalam masyarakat,” katanya.
Menurutnya penyertaan dan penerimaan masyarakat terhadap penghuni mahupun bekas penghuni penting dalam merealisasikan hasrat Jabatan Penjara Malaysia iaitu memastikan dua pertiga banduan sabitan yang layak dan terpilih menjalani pemulihan di luar tembok penjara bersama komuniti menjelang 2030. – BERNAMA