BESUT – Lima lelaki termasuk remaja berumur 15 tahun ditahan polis selepas menemukan dua motosikal bersama pelbagai jenis komponen motosikal yang dicuri oleh mereka di Rumah Awam, Pengkalan Nyireh dekat Kampung Raja di sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritenden Mohd Zamri Mohd Rowi memberitahu suspek yang diketuai oleh seorang peniaga berumur 32 tahun itu ditangkap dalam operasi “Op Lejang” dari Balai Polis Kampung Raja di sini.
Katanya, ketika serbuan polis menemui dua motosikal curi dan telah diubah suai selain komponen enjin motosikal dan perkakas motosikal yang telah dileraikan untuk dijual.
“Siasatan mendapati suspek menjadikan kawasan sekitar Kampung Raja dan beberapa kawasan lain hingga ke pekan Jertih sebagai sasaran mereka untuk mencuri “, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Zamri memberitahu siasatan polis juga mendapati suspek mencuri motosikal dengan menggunakan kunci khas yang mengambil masa hanya antara tiga hingga empat minit untuk dibuka lalu dijual sesama mereka dengan harga RM400 sebuah.
“Motosikal itu kemudiannya akan dileraikan dan komponen seperti enjin, rim dan tayar akan dijual kepada pembeli dengan harga yang murah. Kesemua saspek kini ditahan dan akan direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya. – BERNAMA