Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Jangan Percaya Sindiket Tawar...

MARANG – Orang ramai diminta tidak mudah percaya dengan sindiket yang menawarkan perkhidmatan...

Putin Umum Bertanding Pemilihan...

MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Rabu mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan...

Lelaki Cuba Curi Kereta...

BELURAN - Cubaan seorang lelaki mencuri sebuah kereta berjaya digagalkan apabila dia ditahan...

PERMAI: Program Subsidi Upah...

KUALA LUMPUR - Semua majikan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak memohon...

Jiwa, Hati Tenang Masuk Islam Hampir 20 Tahun

LUMUT – “Sejak saya masuk Islam hampir 20 tahun lalu, semuanya telah berubah malah hati dan jiwa saya betul-betul tenang sehingga sekarang,” kata Muhammad Ashraff Swannachor Abdullah, 67, yang menerima bantuan pada program ziarah dakwah sempena Program Permukiman Menteri Besar di daerah Manjung, di sini.

Muhammad Ashraff yang berasal dari Bangkok, Thailand, berkata dia yang memeluk Islam pada 1999 tidak menyangka penghijrahannya itu membawa seribu kebaikan termasuk perubahan sikapnya yang sebelum ini tidak digemari oleh orang terdekat.

“Saya dulu seorang yang panas baran dan kadang-kadang sampai ke tahap memukul orang, tetapi sejak saya berhijrah dan mengikut ajaran agama Islam, saya menjadi lebih sabar dan tenang. Malah, perasaan saya memang lain dari sebelum ini. Saya sentiasa mahu menjadi muslim yang terbaik setiap masa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Pasir Bogak, Pulau Pangkor di sini hari ini.

Muhammad Ashraff yang menetap di Malaysia hampir 20 tahun tinggal bersama isterinya, Eysah Zakaria, 57, serta dua anaknya berumur 15 dan 17 tahun, menerima kotak mengandungi bantuan makanan daripada Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Muhammad Ashraff berkata dia terbuka hati untuk memeluk agama itu selepas melihat umat Islam menunaikan haji semasa bekerja sebagai cef di sebuah syarikat di Makkah pada 1991.

“Saya melihat mereka semua bersungguh-sungguh menunaikan haji dan beribadat, tiba-tiba hati saya menjadi sayu dan saya mula mempelajari mengenai Islam. Kemudian saya bertekad memeluk Islam beberapa tahun selepas itu sebelum menikahi isteri saya yang merupakan warganegara Malaysia pada tahun sama,” katanya.

Katanya selepas memeluk agama Islam, dia tidak sabar menunggu bulan Ramadan yang dianggapnya tempoh yang perlu dihargai untuk tujuan membersihkan jiwa selain mahu melaksanakan ibadah terawih.


“Saya sangat suka melakukan solat terawih di masjid dan selalu menunaikannya sehingga 20 rakaat, kerana bulan itu hanya datang setahun sekali,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata bagi program kali ini, sebanyak lapan keluarga mualaf daripada pelbagai latar belakang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor menerima bantuan tersebut.

Katanya bagi tahun ini sahaja, sebanyak 31 keluarga mualaf telah menerima bantuan tersebut termasuk keluarga di kawasan DUN Pangkor, Pengkalan Bharu, Pantai Remis, Pasir Panjang dan Sitiawan yang dipilih mengikut bancian statistik JAIPk.

“Program ini merupakan rutin setiap kali program permukiman di semua daerah bagi menziarahi, bertanya khabar dan mendengar jika ada masalah dari mereka yang mana mungkin dapat diselesaikan. Program ini juga mampu memberi semangat kepada mereka dan menunjukkan kasih sayang sesama Islam yang utuh,” katanya. – BERNAMA

Kategori