KAJANG – Seramai 60,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai menjalani latihan persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata antara anggota yang selesai menjalani latihan itu adalah Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Beliau berkata latihan berkenaan diadakan bagi memberi pendedahan kepada anggota mengenai tugasan sama ada di pusat mengundi atau ketika melakukan tugasan lain berkaitan pilihan raya.
“Lebih ramai anggota akan di latih sehingga tarikh PRU-14 diumum, fokus ketika ini adalah memberi pendedahan mengenai situasi yang mungkin terjadi ketika pilihan raya.
“Kita mahu semua pegawai dan anggota berada dalam keadaaan bersiap sedia dalam apa jua situasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Pengurusan Krisis dan Kursus Rundingan Krisis PDRM di Batalion 4 Pasukan Gerakan Am di Semenyih dekat sini, hari ini.
Seramai 40 pegawai kanan PDRM antaranya Ketua Polis Negeri dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah selesai menjalani kursus selama lapan hari bermula 1 Oktober lepas.
Sementara itu, Zulkifli bercadang untuk mengadakan kursus mengenai cara mengendalikan media kepada pegawai dan anggota polis dalam masa terdekat.
“Media amat penting kepada polis dan kalau boleh satu kursus secara bersama dengan warga media akan diadakan untuk memberi pendedahan tentang kehendak media.
“Kita tidak mahu berita atau maklumat mengelirukan dan tidak benar sampai kepada masyarakat,” katanya. – BERNAMA