JAKARTA – Kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia akan dipertingkat dengan tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi dalam tujuh bidang pengajian.
Selain itu, Malaysia juga akan menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang Indonesia yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Malaysia mulai tahun depan.
Menteri Riset Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia Prof H.Mohamad Nasir berkata tujuh bidang itu ialah makanan dan agrikultur; kesihatan dan perubatan; ICT; pengangkutan (kapal, kenderaan darat, pesawat); teknologi nano; teknologi pertahanan dan keselamatan; tenaga boleh diperbaharui; dan maritim.
“Research akan kami galakkan bersama dengan penataan MoU (memorandum persefahaman) dengan fokus tujuh bidang yang akan kami kembangkan bersama itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia Datuk Seri Idris Jusoh di Kementerian Riset Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia di sini hari ini.
Pertemuan selama sejam itu turut dihadiri oleh wakil-wakil universiti awam dan swasta kedua negara.
Sementara itu, Idris berkata sebanyak 20 biasiswa akan ditawarkan untuk pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian di universiti di Malaysia.
Idris berkata biasiswa di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi itu meliputi perbelanjaan sepanjang pengajian di Malaysia.
“Ini adalah kerjasama dua hala. Kita ada pelajar kita di sini dan Indonesia di Malaysia. Bidang pengajian juga terpulang kepada minat pelajar berkenaan,” katanya.
Idris yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Indonesia juga menyampaikan ucaptama bertajuk “Industrial Revolution 4.0 & Redesigning Higher Education pada Pameran Pendidikan Tinggi Malaysia, di sini.
Pameran bertujuan menarik penuntut Indonesia melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta Malaysia itu disertai sembilan universiti awam dan tujuh universiti swasta.
Universiti awam yang terlibat ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA); Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Tun Hussein Onn (UTHM); Universiti Teknikal Malaysia (UteM); Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM); Universiti Sains Malaysia (USM); dan Universiti Sarawak Malaysia (UNIMAS).
Universiti swasta pula terdiri daripada Management and Science University (MSU); Lim Kok Wing University; Asia Pasific University of Tecnology & Innovation (APU); Taylors College; SEGI University: HELP University; dan Meritus University. – BERNAMA