SEREMBAN – Seramai 80 wanita warga emas, daripada golongan berpendapatan rendah dari seluruh Negeri Sembilan menerima sumbangan pada majlis Sambutan Hari Deepavali 2017 di sini, hari ini.
Kesemua penerima menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian antaranya beras, gula, minyak masak, tepung beras termasuk pakaian sari yang disampaikan Yang Dipertua Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO), Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin yang juga isteri kepada Menteri Besar.
Majlis tahunan anjuran Pekerti Negeri Sembilan, Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) dan Kelana Resort Seremban itu turut dihadiri isteri Presiden MIC Datin Seri Dr S. Umarani.
Salbiah merangkap Yang Dipertua Pekerti Negeri Sembilan dalam ucapannya berkata program-program yang memfokuskan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat seperti majlis sambutan Hari Deepavali serta perayaan-perayaan lain yang melibatkan golongan yang memerlukan, adalah antara pelan tindakan bagi Biro Kebajikan dan Sosial dalam Pelan Perancangan Strategik NSWO 2015 hingga 2017.
“Melalui Biro Kebajikan dan Sosial juga, fokus turut diberikan kepada pesakit-pesakit di hospital, mangsa banjir, kebakaran dan tidak ketinggalan sasaran kepada ibu-ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin serta lain-lain golongan yang dikenal pasti memerlukan bantuan dan sumbangan,” katanya dalam ucapan sempena majlis itu di sini.
Salbiah dalam ucapannya turut menyeru agar masyarakat mengambil kesempatan sempena perayaan Deepavali ini untuk mengeratkan hubungan baik dan persefahaman yang telah terjalin sesama masyarakat.
Sementara itu, pihak kerajaan negeri melalui Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM16,000 kepada NSWO untuk diagihkan kepada para penerima sebagai sumbangan dalam bentuk tunai.
MIC Kebangsaan turut menyumbangkan RM10,000 kepada NSWO bagi menjalankan aktiviti berkaitan. – BERNAMA