KUALA LUMPUR – Sejak Jumaat lalu, rakyat Malaysia telah digemparkan dengan pendedahan tentang sindiket perjudian haram di bawah sebuah kumpulan yang dikenali sebagai ‘9 Dragons’ oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan sebelum ini mendedahkan bahawa kegiatan kumpulan ini bukan sahaja sudah lama wujud dan diamalkan di Malaysia, malah sindiket tersebut turut mempunyai kuasa di dalam agensi penguat kuasa di negara ini.
Dengan kuasa tersebut, kumpulan itu berupaya untuk menukar mana-mana penguatkuasa yang mampu mengganggu gugat operasi mereka dalam tempoh 24 jam.
Kumpulan berkenaan sukar untuk diganggu atau diambil tindakan kerana pihak atasan organisasi terbabit telah menjalin hubungan dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan selain turut diberi wang ‘perlindungan’.
“Rangkaian tersebut bermula apabila pihak berkuasa atau individu berkepentingan di negara ini duduk semeja dengan kumpulan dragon untuk meminta bantuan.
“Mereka kemudian tersepit apabila dragon mula meminta bantuan untuk melindungi kegiatan haram, tetapi perlu menurut kerana pernah menerima bantuan dahulu,” dakwanya lagi.
Baca: PPIM Tidak Gentar Ugutan Sindiket 9 Dragons
Tidak sampai 24 jam selepas kenyataan PPIM itu dikeluarkan, NGO tersebut telah menerima ugutan daripada sindiket itu yang mahu ‘mengajar’ mereka kerana mendedahkan aktiviti haram mereka.
“Saya akui antara kandungan mesej diterima, mengatakan PPIM perlu ‘diajar’ selepas mendedahkan kegiatan mereka,” kata Nadzim dalam satu sidang khabar di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri meminta PPIM mengemukakan bukti dakwaan berkenaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terbukti dakwaan itu benar.
Namun, Jazlan menasihatkan agar ahli-ahli kumpulan NGO tersebut agar jangan terlalu ghairah mendedahkan kegiatan kongsi gelap secara agresif yang dikhuatiri akan mengancam keselamatan diri.
Juga: Kongsi Gelap: NGO Dinasihati Tidak Terlalu Ghairah
“Perkara ini disiasat dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa, jadi NGO-NGO ini jangan terlalu ghairah untuk mendapatkan ‘mileage’ politik semata-mata dengan membuat apa-apa tuduhan, nanti keselamatan mereka sendiri terancam ini kerana kongsi gelap ini mempunyai jaringan dan pengaruh yang begitu besar dan akan mengancam nyawa dan sebagainya.
“Jadi kita jangan ambil ringan mengenai perkara ini, kalau betul ada bukti laporkan, kerana ini bukan perkara main-main dengan penggunaan media sosial dan internet kegiatan (kongsi gelap) mereka sukar dikesan,” katanya.
Sementara itu, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara (KPN) turut mengulas tentang isu hubungan antara kumpulan ‘underground’ (kongsi gelap) dengan pihak polis, awal hari ini.
Dalam satu wawancara, Tan Sri Musa menceritakan kembali kisah bagaimana semasa beliau menjawat jawatan sebagai CPO Johor (Ketua Polis Johor), beliau telah mengarahkan ketua-ketua kongsi gelap di negeri itu ditahan.
Lagi: 9 Dragons: Bekas KPN Pernah Buka Cerita
Tindakan itu menyebabkan ramai daripada mereka melarikan diri ke luar negara.
Oleh itu, beliau telah mengarahkan pihak polis pada waktu itu untuk membuat satu senarai tangkapan. Jika ketua-ketua kongsi gelap ini pulang ke negara ini, mereka akan segera ditangkap.
“Saya mengarahkan pegawai-pegawai saya pada masa itu, buat satu senarai, bila mereka balik tangkap, mereka ini terlibat dengan pelacuran, terlibat dengan dadah, terlibat dengan macam-macam (aktiviti haram),” katanya.
Tindakan tegas itu katanya telah menimbulkan kemarahan pihak-pihak tertentu yang terlibat dengan kegiatan haram.
“Apabila saya buat begitu, banyak pihak-pihak ataupun kumpulan-kumpulan, yang terlibat dengan kegiatan haram, (jadi) marah.
“Jadi oleh sebab itu apabila saya tegas sangat di sana, mereka yang atas ni dah ‘complaint’ terutama sekali memberitahu kepada IGP (Ketua Polis Negara) terdahulu, memberitahu saya ni pasal apa mengambil tindakan-tindakan begini.
“Pasal apa you tak ‘control’ CPO (Ketua Polis),” katanya.
Musa turut mendedahkan, ada ahli politik tertentu yang datang ke pejabatnya kerana tidak berpuas hati apabila ketua-ketua kongsi gelap yang ditahan adalah rakan-rakannya.
Katanya lagi, hubungan kongsi gelap dengan pegawai-pegawai polis dan ahli politik memang sudah lama wujud.
“Bila saya mengambil tindakan terhadap kumpulan ‘underground’ (kongsi gelap) ini, memang terlibat dengan kawan-kawan mereka, termasuk pegawai polis atau pun orang politik, mereka dah lama wujud,” dedahnya.
Katanya lagi, mereka (ahli politik dan pegawai polis terlibat) ini menjadi marah kerana habuan yang disebutnya sebagai ‘duit extra’ (duit haram) mereka terjejas.
Dedahnya lagi, kumpulan kongsi gelap ini mampu mengawal ahli politik dan pegawai polis kerana mereka menjalankan aktiviti haram seperti dadah, pelacuran, pemerdagangan manusia, dan pengubahan wang haram.
Justeru mereka tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan menyebabkan mereka mempunyai dana yang besar untuk mengawal individu-individu yang disebutkan di atas.
Dengan angka pusat perjudian meningkat daripada 600 kepada 3,000 di Lembah Klang sahaja dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, tindakan keras perlu diambil bagi membanteras kegiatan itu yang boleh menyebabkan kepincangan dalam masyarakat dan institusi kekeluargaan. – MYNEWSHUB.CC