JUARA Akademi Fantasia musim kelapan ini pernah ‘menghilangkan dirinya’ semenjak tiga tahun dahulu dan turut pernah digosipkan dengan primadona negara, Erra Fazira.
Bagaimanapun Shahir Zawawi kini secara terbuka telah tampil berkongsikan kisah di sebalik misteri ‘kehilangannya’ selama ini.
Jejaka yang berasal dari Kampar, Perak itu dikatakan pernah mencecah berat badan sehingga 90 kilogram. Terkejut? Tapi itulah realiti yang terjadi kepada dirinya.
“Antara benda yang orang tak tahu berat badan saya pernah mencecah 90 kilogram dan memang saya sangat gemuk ketika itu kerana berat badan yang tidak ideal.
“Saya gemuk bukan kerana tidak menjaga pemakanan tetapi saya berhenti bermain bola dan kurang bersenam membuatkan badan saya dipam macam bola,” katanya kepada mStar Online.
Menurut penyanyi yang berusia 29 tahun itu, sejak dia pulang ke Kampar, Perak, ramai yang tidak dapat mengecam dirinya.
Shahir bukan sahaja mengalami fasa kenaikan berta badan yang melampau, malah dia juga turut mengubah penampilan dirinya dengan menyimpan jambang.
“Jambang saya memang panjang ketika itu. Kalau saya tolak ke atas ia mencecah sampai ke dahi.
“Memang saya akui kalau keluar memang orang tak kenal. Mana tidaknya, sudahlah badan berisi, berjambang pula tetapi kau dilihat dua kali memang orang perasan itu saya,” tambahnya.
Bagi pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu, tujuannya menyimpan jambang ialah bertujuan untuk mengikut sunnah Nabi dan bukannya untuk mengelak daripada dikenali oleh orang ramai.
Shahir mengakui bahawa dia mula aktif bersenam kira-kira dua bulan sebelum dia ‘muncul’ semula pada Jun yang lalu dan dia juga telah berjaya mendapatkan berat badan yang ideal iaitu 68 kilogram.
“Pada awalnya memang sukar hendak turunkan kembali berat badan tetapi memang saya berazam untuk dapatkan kembali bentuk tubuh asal dan Alhamdulillah dengan keazaman saya berjaya.
“Saya juga potong jambang tetapi tidak sampai licin dan masih ada cuma dipendekkan sahaja,” katanya lagi.
Tambah Shahir lagi, dia tidak mahu terlalu fokus dalam mendapatkan gelaran juara, namun dia tetap akan memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap kemunculannya di pentas AF Megastar.
Baginya, melayakkan diri memasuki pusingan separuh akhir sudah membuatkan dia bangga dengan pencapaiannya selama dia ‘menghilangkan diri’ sebelum ini. –Â MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah