ALOR SETAR – Paras air di semua sungai utama di kawasan Muda di bawah kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berada pada paras normal, meskipun hujan lebat pada pagi ini menyebabkan beberapa tempat di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar dilanda banjir kilat.
Menurut kenyataan Mada hari ini, setakat 11 pagi tadi paras air di Sungai Padang Terap adalah 14.01 meter, Sungai Kedah-Ampangan Jajar (0.82 meter), Sungai Anak Bukit di Jambatan Tunku Abdul Rahman (1.29 meter), Sungai Pendang (0.91 meter) dan Sungai Arau (6.07 meter).
“Hujan lebat pada pagi ini di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar telah menyebabkan banjir kilat di beberapa tempat. Kadar hujan tertinggi telah direkodkan di Alor Biak pada 172 milimeter (mm), Telaga Batu (155mm), Kuala Sungai (152mm), Jitra (142mm) dan Kepala Batas (130mm),” kata kenyataan itu.
Menurutnya, Mada sedang giat mengalirkan lebihan air ke laut melalui semua pintu kawalan pasang surut termasuk di Tandop Ampang Jajar.
“Pelepasan air berlebihan juga dibuat melalui Sungai Kedah, Terusan Alor Changileh, Lanabulu dan Arau serta pintu-pintu tandop struktur kawalan pasang surut dibuka sepenuhnya.
“Paras air di Ampang Jajar adalah 0.82 meter iaitu paras yang rendah yang membolehkan air mengalir dengan mudah kecuali ada halangan sebelum air turun ke sungai,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, kedudukan takungan air bagi ketiga-tiga empangan di bawah seliaan Mada iaitu Empangan Pedu, Empangan Ahning dan Empangan Muda masih berada dalam keadaan selesa.
“… kecuali Empangan Muda yang telah mula melepasi paras alur limpah. Bagaimanapun limpahan ini merupakan situasi normal serta terkawal dan lebihan air tersebut dialirkan ke kawasan Kedah selatan,” menurut Mada. – BERNAMA