TAWAU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima pertambahan 98 aset baharu bagi memantapkan kecekapan operasi menyelamat dan menghadapi bencana alam di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi APM Roslan Wahab berkata aset itu melibatkan 61 lori (5 tan), 14 bot (32 kaki) dan 23 bot Amphibious Sealegs (bot dwifungsi darat-air).
“Aset-aset ini ada yang telah kita terima dan selebihnya kita menunggu dalam tahun ini.
“Ketika ini juga ada beberapa aset turut dalam proses perolehan termasuk trak tatra untuk tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan program Pasukan Pelatih Institut Pertahanan Awam (PISPA) Kolej Komuniti Sabah di sini, hari ini.
Majlis itu turut disertai dengan pemakaian pangkat mejar bersekutu empat anggota, 21 pegawai lantikan baharu serta pemberian sijil tamat latihan asas 370 pelatih PISPA Kolej Komuniti Sabah.
Roslan berkata APM yang memiliki kira-kira 581 aset sedia ada termasuk 178 kenderaan pacuan empat roda dan 210 ambulans bersiap sedia untuk digerakkan ke lokasi bencana khususnya banjir.
“Ini termasuk kira-kira 1,000 hingga 2,000 anggota APM di setiap negeri turut bersedia untuk misi menyelamat,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menerima positif usaha kerajaan menempatkan anggota APM untuk membantu memperkukuhkan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
“Saya telah berjumpa dan berbincang bersama Komander Esscom serta Pegawai Daerah Lahad Datu dan kita akan menubuhkan pasukan pertahanan (APM) dalam komuniti yang akan bertindak sebagai serampang dua mata,” katanya.
Menurutnya, tugas hakiki semestinya anggota menjadi barisan hadapan dalam misi menyelamat dan tugasan kedua adalah ada antara anggota pasukan akan dipilih untuk membantu operasi memantau di Esszone bersama Esscom.
Di Esszone terdapat 17 pejabat APM yang memudahkan masyarakat dan anggota saling berhubung sekiranya berlaku bencana dan operasi menyelamat kata Roslan. – BERNAMA