JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh di laut semasa sedang mendirikan pondok kupang di perairan Parit Keroma Laut, dekat Muar, hari ini.
Mangsa, Muaz Abdul Mutalib, 20, difahamkan terjatuh ketika cuba menyelamatkan botnya yang sedang dihanyutkan arus semasa sedang mendirikan pondok berkenaan.
Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat Lt Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata gerakan mencari dan menyelamat Muaz dimulakan setelah menerima laporan kejadian kira-kira 3.30 petang tadi daripada bapanya.
“Mangsa (Muaz) dikatakan dalam keadaan tidak berbaju sewaktu jatuh.
“Sebuah bot ronda APMM digerakkan untuk menjalankan operasi SAR serta dibantu sebuah bot Pasukan Polis Marin dan beberapa bot milik penduduk kampung,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Gerakan SAR berkenaan masih dijalankan setakat 8.30 malam ini, katanya.
Zulkarnain sehubungan itu, mengingatkan semua komuniti maritim yang keluar ke laut supaya sentiasa menitikberatkan soal keselamatan semasa di laut serta sentiasa memastikan peralatan seperti jaket keselamatan sentiasa dalam keadaan baik dan dipakai. – BERNAMA