LONDON – Arab Saudi mengumumkan akan membina projek perbandaran mega bernilai RM2.1 trilion yang terletak bersebelahan dengan Laut Merah sebagai salah satu usaha bagi menjana ekonomi negara itu.
Menurut Putera Mahkotanya, Putera Mahkota Mohammed Salman, projek mega yang diberi nama kota robot Neom itu menjangkau kawasan seluas 26,500 kilometer persegi.
Dijangkakan Neom akan menjadi bandar paling moden di dunia dan berkemungkinan memiliki ‘populasi’ robot melebihi jumlah manusia.
“Bandar ini akan dibina dari asas, menjadi bandar mesra alam dan pusat pembangunan robot. Kami mahu mencipta sesuatu yang berbeza. Neom akan menjadi tempat di mana wujudnya pereka yang akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa,” katanya seperti dilaporkan Arab News.
Projek Neom ini akan memfokuskan kepada industri tenaga dan air, bioteknologi, makanan, pembuatan maju serta hiburan, katanya.
“Sektor-sektor ini diberi fokus kerana mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan kepelbagaian dengan memupuk inovasi antarabangsa dan pembuatan untuk menggerakkan industri tempatan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar di negara ini.
“Projek Neom akan menarik penglibatan pelabur swasta. Zon itu akan ditampung lebih daripada $500 bilion oleh Kerajaan Arab Saudi, Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF), pelabur tempatan dan juga antarabangsa,” kata Putera Mohammed.
Projek ini akan dikendalikan di bawah kelolaan Klaus Kleinfeld selaku presiden projek tersebut. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif NEOM.
“Arab Saudi bukan sahaja kaya dengan minyak dan gas, malah negara itu turut kaya dengan tenaga dari suria dan angin. Kami akan menggunakan teknologi canggih untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi,” katanya.
Projek bandar robot ini merupakan projek pertama yang merangkumi tiga negara termasuk Mesir dan Jordan.
Neom merupakan projek terbaru selepas era minyak berikutan penjualan saham daripada syarikat minyak gergasi Saudi Aramco.
Badan pelaburan PIF menyatakan fasa pertama projek mega ini akan selesai pada tahun 2025. – MYNEWSHUB.CC