DALAM zaman moden ini, semuanya berada di hujung jari. Ini juga termasuklah dalam menguruskan urusan rasmi kehidupan sosial kita.
Boleh dikatakan kita menghabiskan kebanyakan masa menghadap telefon bimbit mahupun gajet dari bersosial secara berdepan dengan orang sekeliling.
Keadaan ini sekali gus melemahkan kemahiran komunikasi lagi-lagi dalam kalangan generasi baharu kerana mereka lebih arif dengan dunia teknologi sekarang.
Justeru, pengacara terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi terpanggil untuk membantu generasi baharu bagi memperkasakan kemahiran berkomunikasi.
Akuinya, generasi baharu sekarang tidak reti untuk melontarkan pandangan dan pendapat dengan cara yang betul, sebaliknya lebih gemar menggunakan perkataan tidak sesuai terutama di laman sosial.
“Saya sudah mempunyai idea ini sejak sekian lama dan sedang bekerja rapat dengan agensi kerajaan bagi merealisasikan impian itu.
“Apa yang saya lihat sekarang ramai generasi baru terutamanya lepasan universiti tiada kemahiran komunikasi dan fikiran kritikal ketika ditanya soalan semasa proses temuduga.
“Ini membuatkan mereka gagal mendapat pekerjaan. Sebab itu saya ingin keliling Malaysia, pergi ke sekolah-sekolah, mula dari pelajar sekolah rendah.
“Ia untuk dedahkan kepada mereka mengenai kepentingan komunikasi dan interaksi dalam melontarkan pertanyaan, jawapan malah pendapat,” katanya dipetik mStar Online.
Tambahnya lagi, generasi baharu sangat dialukan untuk memberikan pandangan tetapi haruslah dengan penuh adab serta sopan dan perkara itu antara modul yang terkandung dalam projeknya itu.
Untuk itu, menerusi projek terbaharunya ini, Aznil akan ‘memikat’ pelajar-pelajar sekolah di Malaysia dalam menyertai projek tersebut.
“Jika kita lihat senario sekarang banyak anak kita yang bukan sahaja sanggup maki hamun pemimpin tetapi tanpa rasa bersalah mengeluarkan kata kesat terhadap ahli agama dan ibu bapa.
“Ada pula yang sanggup memukul ibu sendiri! Sampai bila kita hendak biarkan keadaan ini berlaku? Takkan hendak tunggu mereka berani hina nabi ke?
“Sebab itu saya ingin buat kempen ini dalam mengasah kebolehan berkomunikasi dan melontarkan pendapat, menyuarakan pandangan mereka tetapi dengan adab dan cara yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, pengacara program Macam-Macam Aznil ini mengalu-alukan penglibatan pengacar-pengacara lain untuk turut serta dalam projek ini.
Dia juga mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk melaksanakan projek ini secepat mungkin. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim