KUALA LUMPUR – “Seronok membaca reaksi pemimpin pembangkang mengenai Bajet 2018,” sindir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Menurut beliau, membaca reaksi pembangkang seolah-olah langsung tidak ada yang baik kepada rakyat dan negara dalam Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagaimanapun, katanya, beliau memahami memang itu kerja pembangkang di Malaysia iaitu akan membangkang apa sahaja dilakukan kerajaan.
“Pembangkang adalah pembangkang. Konsisten dengan kerja mereka. Mari kita konsisten mencari yang terbaik untuk rakyat,” katanya di Facebook semalam.
Ahmad Shabery berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan Najib di Parlimen kelmarin sebenarnya adalah yang paling inklusif dalam sejarah negara.
“Adalah menjadi tanggunjawab kami bagaimana melaksanakankannya demi kesejahteraan rakyat dan negara. Terima kasih Perdana Menteri,” katanya. – MYNEWSHUB.CC