KUALA LUMPUR – Berdasarkan indeks ekonomi Malaysia yang kukuh, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membentangkan Bajet 2018 yang beliau sifatkan sebagai ‘Ibu Segala Bajet’, yang komprehensif dengan pengumuman pelbagai insentif dan ganjaran untuk setiap golongan rakyat.
Perdana Menteri berkata bajet sejumlah RM280.25 bilion itu mengambil hitung seawal kepentingan bayi dalam kandungan sehinggalah kepada agenda-agenda untuk masa hadapan negara.
Antara lain, bajet kali memanfaatkan golongan petani, pesawah, nelayan, pemandu teksi, peneroka Felda, penjawat awam dan pesara, pengguna lebuh raya, masyarakat Cina dan India, tok batin, belia dan pelajar.
“Inilah… belanjawan yang tidak pernah diperucapkan sedemikiannya, semenjak saya ambil alih tampuk kepimpinan negara ini kerana ia bersifat holistik dan sarat dengan falsafah,” kata Najib di Dewan Rakyat dalam ucapan bajet kira-kira dua jam setengah bertemakan ‘ Memakmur ekonomi Yang Inklusif. Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50’.
Menurut Najib, sejak lapan tahun lalu beliau terpaksa membuat keputusan sukar dengan memberi fokus kepada inisiatif ekonomi sebagai agenda transformasi negara.
Antara hasilnya, rizab antarabangsa negara kini mencatat RM428.7 bilion berbanding RM59.1 bilion semasa kegawatan ekonomi 1997.
Najib berkata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti menjadi penyelamat kepada ekonomi negara.
Katanya, pelaksanaan GST adalah langkah berani yang diambil kerajaan yang akhirnya terbukti kebenarannya.
Sebaliknya, kata Perdana Menteri, pihak pembangkang sampai hari ini tidak sepakat sama ada menerima GST atau tidak dan kadang kala bercakap mahu memperkenalkan semula sistem SST (Sales and Services Tax).
Katanya, tanpa kutipan GST sebanyak RM41 bilion, tidak dapat dibayangkan bagaimana negara boleh menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat.
Najib membidas sikap pembangkang yang tidak konsisten dan ‘asyik-asyik U-turn’ apabila mereka bercakap mengenai program dan insentif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.
“Apa yang kita sering dengar, asyik-asyik U-turn,… asyik-asyik U-turn… and more u-turn, sehingga segalanya membuat pemikiran rakyat dikeliru, didamak dan diracuni,” katanya.
Beliau berkata pembangkang juga berbelah bahagi berhubung program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pinjaman PTPTN dan subsidi minyak apabila adakalanya mereka menyokong dan kadang-kadang bercadang menghapuskannya.
Keseluruhannya, Bajet 2018 menyenaraikan 233 insentif dan program di bawah lapan pe-tunjang. – BERNAMA