BEIJING – Para penyelidik China telah berjaya membangunkan teknologi baharu yang mampu mengenali seseorang melalui posturnya dalam jarak 50 meter, lapor agensi berita China Xinhua.
Para penyelidik di Institut Automasi, Akademi Sains China percaya teknologi itu mampu memastikan identiti seseorang meskipun individu terbabit hanya berjalan secara rawak dengan membelakangkan kamera.
Huang Yongzhen, salah seorang penyelidik, berkata teknologi itu mampu mengira sebanyak 1,000 orang dalam kawasan seluas 1,000 meter persegi pada jarak 100 meter.
Beliau berkata teknologi canggih itu malahan boleh digunakan secara meluas dalam sistem keselamatan, pengangkutan awam dan tempat perniagaan.
Menurut institut tersebut lagi, China merupakan peneraju dunia dalam teknologi pengenalan postur. – BERNAMA