JASIN – Gambar dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jasin, menyelamatkan seekor anjing liar yang kepalanya tersangkut pada tin biskut tular di media sosial dan mendapat pujian netizen.
Difahamkan, pada kejadian di Kampung Ulu Duyung, Bemban di sini, Ahad lalu, anggota APM Jasin, Mohd. Nur Shaiful Ibrahim, 29, dan Adri Sofian Seru Rahman, 20, bersama dua rakan setugas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan mengenai nasib haiwan itu daripada orang awam.
“Sebelum ini, aduan diterima membabitkan gangguan anjing, kami tetap ke lokasi untuk halau haiwan liar itu yang berkeliaran di sekitar rumah penduduk beragama Islam.
“Tapi kali ini, agak berbeza kerana saya bersama rakan setugas perlu pegang haiwan itu untuk membebaskan kepalanya yang tersangkut pada tin biskut.
“Kami sudah lakukan persediaan awal termasuk memakai sarung tangan, sebelum ini saya pernah menghadiri kursus dan latihan menyelamat serta mengendalikan haiwan,” katanya.
Katanya, operasi menyelamatkan anjing itu mengambil masa 15 minit.
“Kami jarang mengendalikan anjing namun lega kerana haiwan itu tidak menyerang kami,” katanya.
Mohd Nur Shaiful berkata, dia melakukan setiap tugas diberi dengan penuh keazaman dan seronok dapat terbabit dengan pelbagai operasi. – myMetro Online