KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuh Raya Shah Alam (LSA) bakal menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus pada 18 Oktober ini.
Syarikat konsesi Kesas Sdn Bhd (Kesas) berkata, diskaun tol itu diberikan kepada orang ramai sempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini.
“Diskaun tol bagi kenderaan kelas satu berkuatkuasa pada 18 Oktober 2017 dari pukul 12:01 pagi hingga 11:59 malam.
“Dianggarkan 285,000 kenderaan yang menggunakan LSA bakal menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus ini dengan jumlah subsidi yang bakal diberikan bernilai lebih RM57,OOO,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kesas, Mohammed Shah Samin berkata, pemberian diskaun tol adalah antara program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kesas kepada masyarakat.
Menurut beliau, Kesas telah menyumbang lebih RM1.9 juta kepada pengguna LSA sejak tahun 2010 melalui program itu.
“Kami berterima kasih atas sokongan serta kepercayaan yang telah diberikan oleh pengguna LSA terhadap perkhidmatan yang disediakan,” katanya. – MYNEWSHUB.CC