KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang juga popular dengan gelaran DrMaza tahu mengapa DAP anti-Islam!
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, Mohd. Asri pernah membangkitkan perkara itu lima tahun lalu.
“Terkesan minda saya dengan rakaman ucapan Mufti Perlis pada tahun 2013 yang mempersoalkan sikap DAP terhadap benda-benda yang ada sifat Islam.
“Walaupun sudah empat tahun ucapan ini dibuat tetapi soalan yang dilontarkan oleh Mohd. Asri ini masih relevan hingga sekarang kerana ternyata sikap DAP tidak berubah sampai sekarang.
“Kita tunggu jawapan para pemimpin DAP terhadap soalan yang dilontarkan oleh Mohd Asri kepada mereka ini,” katanya di laman Facebook hari ini.
Beliau turut memuat naik rakaman video DrMaza pada 2013 yang menyentuh tentang tindakan DAP meminta supaya subjek Tamadun Islam di universiti-universiti dihapuskan.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan dengan jelas dalam ucapan Bajet 2018 semalam bahawa Malaysia adalah “negara Islam (yang progresif dan dinamik)”.
Kata beliau, penegasan Perdana Menteri itu sekali gus menafikan kenyataan pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama ini bahawa Malaysia adalah negara sekular dan meminta supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dihapuskan.
Beberapa pemimpin DAP dan PKR sebelum ini pernah menegaskan sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam melanggar Perlembagaan Negara.
DAP dan PKR merupakan sekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad dibawah gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan. – MYNEWSHUB.CC