KUALA LUMPUR — Dua pelajar lelaki jurusan diploma tahun akhir sebuah kolej universiti awam ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah sejak lebih setahun lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di kawasan Taman Bangi Evenue, Kajang, pada kira-kira 6 petang semalam.
Beliau berkata ketika serbuan, polis menemui dua bungkusan aluminium foil di dalamnya berisi ketulan mampat dedaun kering dipercayai kanabis seberat 23.0 gram di atas lantai sebuah bilik dalam rumah mereka.
“Hasil siasatan mendapati mereka memperoleh bekalan dadah itu daripada kenalan mereka seorang lelaki yang aktif dalam pengedaran dadah di sekitar Kajang.
“Polis merampas bahan terlarang itu yang dianggarkan berharga RM250 di pasaran dan mereka direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama dua hingga lima tahun serta sebatan. — BERNAMA