KUALA LUMPUR – Kejayaan usahawan digital hari ini membuktikan ekonomi digital bukan sahaja menjadi trend dalam landskap perniagaan global tetapi turut menjadi pencetus kemajuan ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Salleh berkata rakyat wajar merebut peluang itu yang berpotensi menaik taraf kehidupan dan menjadi lebih kompetitif menerusi gelombang ekonomi digital.
“Ekonomi digital adalah satu salah satu sektor yang semakin berkembang dalam situasi perdagangan dengan jumlah organisasi, perniagaan dan pelabur yang semakin bertambah.
“Dunia kita semakin hari semakin berubah. Revolusi digital telah merubah setiap aspek kehidupan harian kita dan cara kita berinteraksi dan berurusan sesama sendiri,” katanya ketika berucap pada Malam Gemerlapan Daya e-Usahawan, di sini hari ini.
Salleh berkata kementeriannya dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menggembleng banyak usaha dalam menjalankan pelbagai inisiatif e-Usahawan dengan objektif menyebarkan manfaat ekonomi digital kepada seluruh rakyat.
“Hasil komitmen yang berterusan, sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sudah mencecah 18.2 peratus pada 2016 dan kita sudahpun mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2020,” katanya.
Beliau berkata usaha kerajaan dalam menghasilkan lebih ramai ‘Wira Digital’ melalui ekonomi digital dapat dicapai melalui e-Usahawan dalam menggerakkan rakyat ke arah ekonomi digital di samping memastikan Malaysia terus melangkah untuk mencapai wawasan dan aspirasi negara ke arah negara maju.
“Dalam memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi yang kita kecapi hari ini, kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan ekonomi negara yang berteraskan pembangunan masyarakat. Usaha dan inisiatif ini termasuk usaha membangunkan ekonomi digital negara,” katanya. -BERNAMA