PETALING JAYA – Eksibit atau barang kes terdiri daripada baju T tertulis nama dua tertuduh yang didakwa membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam dan keratan kuku, dikemukakan di Jabatan Kimia Malaysia di sini, hari ini bagi tujuan pengecaman.
Proses pengecaman barang kes berkenaan yang disimpan dalam sebuah plastik yang dilakri, dilakukan di dalam bilik makmal di jabatan berkenaan atas faktor keselamatan.
Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili tertuduh kedua, Doan Thi Huong, warga Vietnam ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, berkata proses pengecaman berlangsung selama hampir sejam dan semua yang berada di dalam makmal diarah memakai pakaian pelindung bahan kimia dan topeng pernafasan.
Beliau berkata, pihak yang berada dalam makmal bagi proses pengecaman itu ialah Doan, peguam S.Selvi yang mewakili tertuduh pertama Siti Aisyah iaitu warga Indonesia, dua pengawal keselamatan dan Dr. S. Raja iaitu Ketua Makmal Pusat Senjata Kimia, Jabatan Kimia Malaysia.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azmi Ariffin yang mendengar perbicaraan itu dan pihak pendakwaan serta peguam lain berada di luar makmal.
Sementara itu, peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah pula berkata blazer mangsa (Kim Chol) tidak dapat dibuat pengecaman kerana ia telah dihantar ke Korea Utara.
“Kami percaya blazer itu barang bukti yang penting kerana terdapat agen saraf VX padanya. Kami akan bangkitkan isu ini semasa hujahan, (tentang kenapa blazer ini tidak dikemukakan sebagai eksibit).”
Ketika ditanya mengapa Siti Aisyah tidak masuk ke dalam makmal berkenaan, Gooi berkata ia tidak perlu.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pula berkata prosiding petang ini ditangguh ke esok kerana Dr. Raja yang akan menyambung keterangannya hari ini, tidak sihat.
Pada Khamis lepas, mahkamah menetapkan untuk menyambung perbicaraan kes itu pada petang ini selepas pihak-pihak yang terlibat selesai membuat pengecaman barang kes tersebut.
Pengamal media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul di luar perkarangan jabatan berkenaan seawal 6 pagi.
Pada prosiding Khamis lalu, Dr. Raja yang merupakan saksi kelapan memberikan keterangan berhubung barang kes terbabit, menyarankan supaya barang kes itu dibuka di Jabatan Kimia bagi tujuan keselamatan berikutan agen saraf VX yang aktif masih didapati pada dua baju T dan serpihan kuku berkenaan.
Tertuduh Siti Aisyah, 25, dan Doan , 28, yang memakai baju kurung hari ini tiba di jabatan berkenaan pada 9.30 pagi diringi pihak polis.
Kedua-dua wanita itu didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Februari lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – BERNAMA