SELEPAS tiga tahun rumah tangga mereka seakan retak, hari ini, penyanyi Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin dan suami, Adam Fahmy sah bercerai dengan talak satu.
Lafaz cerai itu dibuat Adam kira-kira pukul 10.30 pagi tadi di hadapan Hakim Syarie, Noorbyetty Nasir di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Noorbyetty meminta kedua-dua mereka bersalaman dan bermaafan sebelum talak dijatuhkan Adam.
April lalu, penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu telah memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur 1984.
Minggu lalu, kecoh di laman sosial apabila Ezlynn ada memuat naik satu entri yang mendakwa rumahnya telah ‘dirompak’ oleh Adam sewaktu ketiadaannya di rumah tersebut.
Baca: Angkara Suami, Ezlynn Mengamuk Di Instagram
Namun, Adam yang dulu pernah menjadi pengurus Ezlynn menafikan tuduhan tersebut. Sebaliknya menyatakan Ezlynn hanya menabur fitnah semata untuk mempercepatkan proses penceraian mereka.
“Dia juga tidak henti-henti menyebarkan fitnah tentang saya walaupun saya sudah menegurnya tidak boleh mengaibkan suami namun semuanya dilakukan untuk mendapatkan simpati masyarakat.
“Dia telah melakukan pelbagai perkara dengan niat untuk mendapatkan dan mempercepatkan proses perceraian termasuk memutarbelitkan fakta kes dengan tujuan fitnah dan memburukkan dan menghina saya, suaminya sendiri,” katanya dipetik mStar Online.
Sementara itu, Adam akan memfailkan nusyuz terhadap Ezlynn dalam masa terdekat berikutan penyanyi itu masih enggan taat kepadanya walaupun selepas menyerahkan surat tuntutan itu pada 15 Ogos lalu.
“Demi menyelamatkan rumah tangga kami saya minta dia kembali taat dan berpindah ke rumah baru kami di Cheras tetapi ia tidak mengendahkannya.
“Malah saya minta dia tidak lagi melakukan perkara-perkara tanpa izin dan di luar pengetahuan saya namun semuanya diabaikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ezlynn seakan lega dengan penceraiannya pagi tadi selain menjelaskan dia tidak menghalang Adam untuk memfailkan nusyuz yang sememangnya hak kaum lelaki.
“Suka hati dia. Dia boleh cakap apa sahaja dan kita tengok sahaja nanti.
“Dia hendak kata saya abaikan dia… dia dahulu yang mengabaikan saya, perasaan saya dan peluang telah diberikan terlalu lama.
“Apa-apa pun saya tenang dan lega, Alhamdulillah Allah permudahkan urusan saya hari ini,” kata Ezlynn.
Penyanyi wanita ini turut memuat naik satu posting yang mengesahkan penceraiannya di laman Instagram miliknya.
Adam dan Ezlynn telah mendirikan rumah tangga pada 21 November 2011 lalu dan tidak dikurniakan cahaya mata. – MYNEWSHUB.CC