NETIZEN baru-baru ini dihebohkan dengan kejutan pelakon, Fattah Amin menghadiahkan aktres jelita, Fazura 500 kuntuman bunga mawar putih dan merah jambu.
Kejutan itu adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin yang ke-34.
BACA : 500 Kuntum Mawar ‘Surprise’ Fattah Buat Fazura
Hamboi… Romantik sungguh ya Fattah ni… Hmm, ramai yang beranggapan memang ada ‘sesuatu’ antara mereka ni.
Namun perkara tersebut dinafikan oleh Fattah dengan mengatakan mereka hanya sekadar teman baik sahaja.
Memetik beberapa portal, pelakon tinggi lampai ini mengaku agak bimbang sekiranya cerita hubungan mesra bersama pelakon jelita tersebut disalah anggap sehingga menimbulkan isu dan kemarahan dalam kalangan netizen.
Ketika disoal tentang sejauh mana hubungan dengan Fazura, pelakon itu dilihat seakan cuba mengelak kerana bimbang jawapan itu akan disalah erti oleh peminat.
“Janganlah… nanti jadi isu baru pula! Saya dengan Fazura bersahabat sahaja, tidak lebih daripada itu.
“Sejujurnya, saya selesa dengan dia kerana kami pernah berlakon bersama dan dia juga seorang sahabat yang baik,” katanya lapor mStar Online.
Sementara itu, mengulas berkaitan kejutan buat Fazura baru-baru ini, Fattah menjelaskan hadiah tersebut hanyalah tanda ingatan sebagai seorang sahabat sahaja.
“Kalau nak tahu, angka 500 kuntum bunga mawar itu tidak membawa apa-apa maksud, itu hanya hadiah tanda persahabatan kami.
“Kalau saya nak bagi dua kuntum sahaja pun tak ada masalah, tak tahulah macam mana boleh timbul idea nak bagi 500 kuntum tu,” jelas Fattah.
Tambahnya lagi, sebelum ini Fazura pun pernah membuat kejutan semasa hari lahirnya. Jadi, Fattah beranggapan dia perlu membalasnya semula.
“Sebelum ini dia pernah buat kejutan semasa hari jadi saya, jadi saya rasa perlu balas semula,” tambahnya.
Pada 14 September lalu, Fazura telah menghadiahkan 50 kuntum bunga mawar yang diterbangkan khas dari New York sempena ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-27 tahun.
BACA : Fazura Kirim 50 Kuntum Mawar Untuk Fattah Dari NY
Hubungan kedua-dua pelakon ini mula menjadi bualan hangat para netizen ketika gandingan bersama dalam satu drama rantaian arahan Michael Ang, Hero Seorang Cinderella.– MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura