KUALA LUMPUR – Duta Khas kepada Perdana Menteri Fiji, Sir Ratu Epeli Nailatikau berkata negara Pasifik Selatan memerlukan kerjasama lebih luas dengan Malaysia, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Mengakui pengalaman Malaysia dalam tenaga boleh diperbaharui sebagai sesuatu yang boleh dipelajari Fiji, beliau berkata kerjasama dalam sektor itu dapat membantu negara berkenaan mengatasi sumber tenaga yang semakin berkurangan di masa depan.
“Import minyak kami juga sangat tinggi, walaupun banyak perbincangan diadakan bahawa terdapat banyak sumber minyak berpotensi yang dapat ditemui di Fiji.
“Jadi, kami perlu memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan mendidik rakyat Fiji tentang kepentingan menggunakan tenaga solar,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh di pejabatnya di Wisma Bernama di sini.
Ratu Epeli, yang juga bekas Presiden Fiji dari 2009 hingga 2015, turut menjadi tetamu jemputan rancangan bual bicara Bernama News Channel (BNC) semasa kunjungannya di sini, bagi membicarakan tentang sebuah dokumentari ‘Back to Batu Pahat’ yang akan disiarkan esok.
Dokumentari yang diterbitkan BNC itu, adalah tentang kerjasama ketenteraan Malaysia dan Fiji antara tahun 1952 dan 1956, yang mana tentera kedua-dua negara bertempur bersama-sama semasa Darurat Tanah Melayu.
Dalam pada itu, Ratu Epeli mempelawa ahli perniagaan Malaysia untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan di Fiji kerana negara itu mempunyai lebih banyak peluang untuk ditawarkan dalam aktiviti perniagaan.
Katanya kedua-dua negara juga mempunyai hubungan yang baik sejak sebelum kemerdekaan Fiji pada 1970.
Menurut Ratu Epeli, antara bidang yang menarik bagi perniagaan Malaysia ialah perlombongan, perikanan, pendidikan dan pertanian.
Sementara itu, Zulkefli menyifatkan pertemuannya dengan Ratu Epeli sebagai sangat bermaklumat dan jelas, kerana mereka berkongsi peluang yang belum diterokai di Fiji serta peranan media di negara itu.
Beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa ketepatan berita amat penting dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan di sesebuah negara.
“Kami berdua juga bersetuju bahawa berita palsu atau tidak tepat perlu ditangkis segera untuk mengelakkan salah tanggapan yang berpanjangan,” katanya. – BERNAMA