KUALA LUMPUR – Pemain golf profesional Malaysia, Nicholas Fung tekad untuk menebus kekecewaan lepas di ‘Yeangder Tournament Players Championship (TPC)’ yang akan berlangsung empat hari, mulai esok di Taiwan.
Pemain kelahiran Sabah berusia 27 tahun itu mendahului saingan selepas lubang ke-14 pada pusingan akhir tahun lepas, namun melakukan dua bogey pada lubang ke-15 dan ke-17 yang menyaksikan beliau terpaksa berpuas hati berkongsi di tempat ketiga bersama Scott Barr dari Australia.
“Saya banyak belajar dari tahun lalu kerana menamatkan saingan sebagai naib juara pada beberapa kejohanan. Tahun lepas saya begitu memberi tekanan terhadap diri saya untuk memenangi kejuaraan Jelajah Asia saya yang pertama.
“Yeangder TPC adalah contoh yang baik kerana saya mendahului dengan dua pukulan dan saya jangka untuk menang selepas lubang ke-13,” katanya seperti dipetik dalam laman sesawang Jelajah Asia; www.asiantour.com.
“Pada lubang ke-14 saya menghasilkan pukulan yang bagus dan mempunyai peluang baik untuk melakukan birdie namun terlepas peluang,” katanya.
Oleh itu, kata Fung beliau tidak akan memberi tekanan terhadap dirinya, sebaliknya akan menampilkan aksi terbaik pada kejohanan itu menawarkan hadiah US$500,000 (RM2.112 juta) yang akan berlangsung di Kelab Golf and Country Antarabangsa Linkou.
“Saya mengharungi minggu yang menyeronokkan pada Taiwan Masters untuk tiga pusingan dan tidak beraksi begitu baik pada hari terakhir.
“Saya benar-benar mahu menamatkan cabaran di kedudukan sepuluh teratas dalam Order of Merit Jelajah Asia. Itu matlamat saya bagi 2017.
“Ini boleh dicapai sebab kedudukan saya tidak lagi jauh. Satu lagi kemenangan akan membantu saya mencapai matlamat ini,” kata Fung yang kini berada di kedudukan ke-21 dalam carta tersebut. – BERNAMA