KONON mahu jadi hero namun entahlah siapakah ‘guru lawak’ kepada Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang semakin hilang arah tuju politik.
Menurut portal AgendaDaily, asalnya ‘nada bunyi’ sidang akhbar pada Isnin lalu dibuat di Hotel Seri Pacific, yang terletak bersebelahan PWTC menempatkan ibu pejabat UMNO Malaysia; ibarat guruh mahu membelah langit.
Apa tidaknya, dia hendak tunjuk betapa mahalnya nilai dirinya dengan mendakwa konon ditawar RM5 juta untuk keluar daripada PPBM dan ‘serang’ kepimpinan bagi melemahkan parti itu termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Juga katanya mahu mengumumkan pada sidang media entah apa-apa itu untuk menolak tawaran sambung belajar lebih tinggi di Universiti Oxford di Britain yang terkemuka kerana konon hendak meneruskan karier politiknya.
Rasanya budak sekolah pun boleh tampil dengan aksi lawak tidak jadi macam Syed Saddiq ini. Walhal kalau sudah ada bukti orang yang hendak menyogoknya, apa hal buang masa membuat sidang akhbar umum segala macam.
Bukankah lebih sensasi kalau terus lapor saja kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya kelmarin di bangunan ibu pejabat baharu di Putrajaya.
Ini adalah antara yang menjadi bahan ketawa ramai pengguna media sosial tempatan yang turut mempersoalkan tahap kesahihan dakwaan Syed Saddiq itu kurang 24 jam sahaja selepas sidang media khas tersebut diadakan.
Ramai yang tertanya-tanya mengapa Syed Saddiq membuat sidang media di hotel bersebelahan PWTC hanya untuk memberitahu konon beliau tolak tawaran biasiswa ke Universiti Oxford selepas lima bulan perkara itu berlalu?
Adakah mahu cari publisiti murahan atau hendak kaitkan kononnya sidang media beliau diatur oleh pihak UMNO? Syed Saddiq yang berusia 25 tahun tidak perlu marah jika dia dianggap ‘budak’ tidak pandai lagi main auta politik.
Kalau betul dia bijak sangat dalam ‘silat terajang’ politik, tentu semua orang terkejut dan tidak timbul persoalan surat tawaran sambung pengajian di Universiti Oxford serta tuduhan bodoh konon hendak disogok RM5 juta.
Alkisahnya ramai tidak tahu bahawa tarikh surat tawaran rasmi tersebut dikeluarkan adalah pada 17 Mei lalu, manakala Syed Saddiq baru menerimanya pada 15 Jun sedangkan surat itu perlu dijawab segera sebelum 11 Julai!
Kelakarnya dalam sidang media semalam, dia umum konon mahu membuat keputusan untuk menolak tawaran melanjutkan pengajian peringkat sarjana di universiti terkemuka dunia itu bagi memberi tumpuan kepada PPBM.
Sebaliknya jika dia menerima tawaran universiti tersebut, Syed Saddiq sepatutnya sekarang sedang gigih menelaah pelajarannya di bilik kuliah kampus Oxford bermula dari 21 September lalu hingga 30 September tahun depan.
Ini bermakna Syed Saddiq telah menangguhkan awal pengajian di universiti itu. Lawak bodoh apakah ini apabila dia tampil buat sidang media tergempar pada 2 Oktober iaitu selepas hampir dua minggu sesi pengajian bermula
Strategi ini akhirnya memakan dirinya sendiri. Hebat debat tidak bererti dia bijak berpolitik. Untuk letak perencah, Syed Saddiq pada pada sidang media itu dakwa tawaran sogok dibuat oleh ‘ penasihat kanan Perdana Menteri’.
Dakwaan karutnya itu termasuk konon tawaran sebanyak RM5 juta berserta geran bagi membuka sebuah sekolah perdebatan di seluruh negara itu jika dia sanggup meninggalkan perjuangan lesu PPBM buat selama-lamanya.
Ramai yang geleng kepala tertanya-tanya kebodohan Syed Saddiq… bukankah mengetahui ada tawaran rasuah dibuat tetapi tidak pula mahu melaporkan kes itu kepada pihak SPRM merupakan satu kesalahan jenayah?
Mengikut Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009 kegagalan melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah boleh didakwa dan denda iaitu tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Apabila ditanya kenapa tidak laporkan kepada SPRM, Syed Saddiq cuba berdolak dalik daripada memberi jawapan. Mujur dia tidak ikut jejak Mahathir yang asyik jawab ‘tidak tahu’ disoal dalam kes forex Bank Negara Malaysia.
Walhal sebelum itu dia mendakwa konon ditawarkan dengan sogokan RM5 juta untuk meninggalkan PPBM serta mempunyai bukti kukuh berhubung apa yang didakwanya dan berkata: “Saya akan bincang dengan peguam!
“Kalau ada apa-apa tawaran berkaitan rasuah, salah guna kuasa, saya akan laporkan terus kepada SPRM. Terutama jika mereka hendak guna serangan peribadi semua kerana jenayah sepatutnya tiada kompromi, kena laporkan.
“Seperti yang saya sudah maklumkan sebelum ini, lebih berbentuk peribadi daripada mereka,” dalih Syed Saddiq. Jadi apa cuba dibuat ini? Apakah sengaja mencari publisiti murahan dan gempar konon dirinya hebat sangat.
Siapa dia yang sampai ada orang hendak rasuah RM5 juta? Bukan pun Ahli Parlimen, Senator apatah lagi ADUN, hanya ketua pemuda sayap sebuah parti yang cuma mempunyai satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN.
Apa hebatnya Syed Saddiq ini? Mungkin cerita dia suka berhibur sakan di kelab malam! Kata orang ibarat ‘buat habis beras’ jika pihak tersebut hendak ‘derma’ RM5 juta kepadanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA