KOTA KINABALU – Golongan guru diminta mengemas kini pengetahuan mengenai kandungan korikulum dan kompetensi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam bilik darjah secara berterusan bagi memastikan mereka kekal relevan dengan kehendak pendidikan semasa dan cabaran pendidikan abad ke-21.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata antara cabaran pendidikan abad ke-21 untuk guru ialah menyediakan suasana pembelajaran yang menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan mengurus bilik darjah atau pembelajaran lebih dinamik.
“Namun cabaran utama adalah bagaimana guru-guru menggunakan pelbagai sumber sokongan teknologi serta maklumat bagi melaksanakan PdPc yang efektif dan berkualiti serta relevan dengan perkembangan semasa,” katanya bersempena perasmian penutupan Persidangan Teknopen Kinabalu ke-6, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu Prof Madya Dr Ramzah Dambul. Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.
Kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada pengetua dan guru besar menghadiri persidangan tersebut yang menyaksikan 30 hasil kajian guru dari seluruh Sabah mencakupi pelbagai mata pelajaran dibentangkan.
Madius berkata antara pendekatan untuk memenuhi aspirasi pendidikan negara berkenaan ialah melaksanakan ‘kajian tindakan’ yang membolehkan guru-guru mengimbas kembali tentang apa yang berlaku di dalam kelas setelah proses PdPc selesai.
Katanya kajian seperti itu akan menggalakkan dan memandu para guru melakukan perubahan dan penambahbaikan terhadap proses PdPc mereka di dalam kelas secara berterusan sehingga objektif pengajaran tercapai.
“Tanpa mengimbas kembali atau membuat refleksi terhadap aksi-aksi pengajaran yang telah berlaku, penambahbaikan dan peningkatan PdPc tidak akan berlaku,”katanya.
Beliau juga mengajak golongan pendidik membudayakan aktiviti penyelidikan di sekolah masing-masing kerana pengembangan profesionalisme guru boleh ditingkatkan melalui penyelidikan seperti diamalkan oleh banyak negara maju termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. – BERNAMA