KUALA LUMPUR – Persatuan Nelayan Kebangaaan (Nekmat) menjawab rungutan orang ramai mengenai kenaikan harga ikan kembong sejak akhir-akhir ini yang sebenarnya merupakan fenomena bermusim.
Pengerusinya, Ahmad Rudin Hussain berkata, kenaikan harga ikan kembung adalah disebabkan kesukaran nelayan untuk menangkap ikan kembung dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Nelayan terpaksa pergi lebih jauh ke laut menggunakan minyak (enjin) yang lebih, tenaga yang lebih dalam keadaan cuaca yang tidak menentu lebih-lebih lagi telah masuk musim tengkujuh.
“Ketika fenomena kekurangan tangkapan ini, adalah tidak munasabah sekiranya harga ikan kembong kekal seperti biasa semasa bekalan banyak, walhal kos penangkapan yang lebih diperlukan termasuk minyak (enjin),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Rudin berkata, kenaikan harga ikan kembong itu juga setimpal dengan kos penangkapan yang tinggi, jerih payah ke laut yang lebih jauh, memerah keringat yang belum tentu ada hasilnya serta menjadikan nyawa sebagai taruhan di lautan.
Malah, katanya, ikan kembong juga adalah satu spesis yang semata-mata bergantung kepada tangkapan kerana ia tidak boleh diternak seperti ikan kerapu dan lain-lain bagi memastikan harganya stabil.
Bagaimanapun, jelasnya, fenomena harga ikan kembong tinggi bersifat sementara dan orang ramai boleh beralih ke alternatif ikan yang lain yang harganya lebih stabil seperti siakap, selar kuning, senangin dan lain-lain.
“Bagi pengguna di luar sana, Nekmat menyediakan alternatif ikan segar sejuk beku Q Fish sebagai pilihan sumber protein yang boleh didapati dengan harga lebih berpatutan dan kualiti setanding dengan ikan segar.
“Pelbagai jenis ikan boleh didapati antaranya ialah kembong, pelaling, selar, sardin (selayang), tongkol, cencaru dan keli. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Nekmat di talian 03-61361808,” katanya. – MYNEWSHUB.CC