LABUAN – Hujan lebat berterusan disertai angin kencang terus membadai pulau bebas cukai ini, dengan berpuluh-puluh buah kampung digenangi air dan terputus bekalan elektrik sejak Jumaat lepas.
Banyak pokok di pinggir jalan yang tercabut manakala bumbung sembilan rumah di tujuh kampung dan sebuah kedai runcit di Kg Lajau turut diterbangkan angin. Kampung terjejas ialah Sg Miri, Batu Arang, Bukit Kuda, Kg Lajau, Kg Belukut, Kg Bukit Kalam dan Kg Tg Aru. Tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin, yang menyertai operasi menyelamat itu, berkata jabatan itu menerima lebih 200 panggilan kecemasan berhubung insiden berkaitan cuaca.
“Kami memberi respons kepada panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang yang menimpa bumbung rumah, kenderaan dan di atas jalan raya, dan kami telah menggegaskan anggota kami ke lapangan untuk memeriksa keadaan serta menawarkan bantuan jika perlu,” katanya ketika ditemui Bernama.
Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli memuji kerjasama erat antara agensi kerajaan dalam operasi bantuan dan menyelamat itu, termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Beliau menasihati kalangan nelayan supaya sentiasa melengkapkan diri dengan keadaan cuaca terkini dan mendapatkan nasihat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebelum membuat keputusan untuk ke laut.
Sementara itu, SESB bekerja 24 jam untuk memulihkan semula bekalan elektrik ke kawasan terjejas.
“Pekerja kami masih berada di lokasi, termasuk di beberapa buah kampung, untuk memeriksa kawasan yang bekalan elektriknya terjejas,” kata Pengurus SESB Labuan Zalifah Jarman.
Pusat khidmat masyarakat Pejabat Parlimen Labuan bergabung tenaga dengan agensi kerajaan seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa.
“Kami telah melawat kawasan terjejas, bantuan akan disalurkan segera,” kata ketuanya, Basran Yunus.
Pengurus Lapangan Terbang Labuan Ahmad Fikri Samsudin dalam satu kenyataan mengesahkan cuaca buruk dan angin lintang luar biasa mengakibatkan sebahagian daripada bumbung terminal di dewan berlepas dan kawasan awam tertanggal.
“Justeru, sementara menunggu kerja pembaikan dijalankan, laluan untuk penumpang berlepas akan dipindahkan ke Dewan Berlepas Antarabangsa bagi Malaysia Airlines, Maswings danAirAsia, dan petugas lapangan terbang akan memberi panduan sewajarnya kepada penumpang,” katanya. – BERNAMA