SHAH ALAM – Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah dianugerah gelaran Profesor Emeritus pada Istiadat Konvokesyen ke-87, UiTM, hari ini.
Ia disampaikan oleh Pro-Canselor UiTM, Tun Ahmadshah Abdullah sebagai tanda mengiktiraf segala sumbangan, komitmen, kepakaran dan kesungguhan beliau sepanjang sembilan tahun menjadi Naib Canselor UiTM.
Ibrahim ketika ditemui media selepas istiadat berkenaan berkata, beliau sendiri pun tidak menyangka akan menerima anugerah gelaran istimewa terbabit.
“Sudah tujuh tahun saya meninggalkan UiTM dan saya tidak sangka akan dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada Istiadat Konvokesyen kali ini.
“Terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Naib Canselor UiTM, Senator diatas sokongan dan anugerah ini,” katanya.
Ibrahim Shah yang juga Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, banyak membawa perubahan penting dalam melonjakkan sistem pengurusan UiTM ke tahap yang lebih sistematik dan cemerlang.
Dalam istiadat pertama hari ini, seramai 513 pelajar terdiri dari pelajar Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD), Sarjana serta penerima Anugerah Graduan Terbaik, menerima skrol masing-masing.
Sementara itu, bekas pesara, Mohmad Najid Ramli, 64, tidak menganggap usianya sebagai halangan untuk mendapatkan PhD dalam Pengurusan Perniagaan.
Beliau yang bersara dari Telekom Malaysia pada tahun 2008 berusaha selama tujuh tahun bagi memastikan impiannya tercapai.
“Sepanjang tujuh tahun ini, saya juga terpaksa menjalani pembedahan sebanyak tiga kali kerana masalah ketumbuhan di dalam perut.
“Saya ambil masa agak lama menyiapkan tesis ini dan sepatutnya PhD perlu siap dalam tempoh lima tahun tetapi pihak universiti beri pengecualian kerana kesihatan tidak memuaskan,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA