KUALA LUMPUR – Majlis Jaksa Pendamai (JP) Kelantan tidak pernah melantik mana-mana wakil meminta sumbangan daripada badan korporat bagi Majlis Santapan Malam sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bulan hadapan.
Pemangku Presiden majlis itu Datuk Seri Zukri Samat berkata beliau mengesan terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama majlis itu kononnya meminta sumbangan untuk majlis yang akan diadakan di sebuah hotel di sini pada 19 Nov.
“Kami memang mengadakan majlis itu tetapi pada 18 Nov di sebuah hotel lain di sini dan bukannya di hotel seperti yang dinyatakan surat itu kepada syarikat-syarikat badan korporat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Zukri berkata pihaknya mengesan penipuan itu apabila menerima maklumat daripada sebuah syarikat badan korporat yang mendapat surat tersebut kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Majlis JP Kelantan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada tengah hari, katanya.
Beliau mengingatkanba sesiapa yang menerima surat meminta sumbangan menggunakan nama majlis itu supaya tidak terpedaya dan diminta menghubungi pihaknya di talian 09-7409099 untuk pengesahan. – BERNAMA