PEKAN – Jumlah penderma organ dalami kalangan rakyat Malaysia dilaporkan semakin berkurangan dengan trend penurunan yang ketara direkodkan dalam tempoh tiga tahun ini, sekali gus menunjukkan kesedaran berhubung perkara itu masih rendah.
Timbalan Pengarah Kesihatan Pahang Dr Rohaya A Rahman berkata pada 2015, jumlah penderma organ di Malaysia adalah hanya 71 orang dan angka berkenaan menurun pada 2016 dengan hanya 39 penderma organ direkodkan.
“Lebih membimbangkan, pada tahun ini angka penderma yang tercatat hanyalah 18 orang dari tempoh Januari hingga 30 Sept,” katanya ketika berucap pada Program Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat negeri Pahang di Dataran Pekan hari ini.
Majlis itu dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PeramuDatuk Seri Sh Mohd Puzi Sh Ali.
Dr Rohaya bagaimanapun tidak menyatakan jumlah penderma organ dari Pahang dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana ramai pesakit di negara ini yang amat memerlukan pemindahan organ seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan kornea mata bagi meneruskan kehidupan mereka.
Sementara itu, Dr Rohaya berkatagolongan yang berikrar (untuk menderma organ) dinasihatkan supaya memaklumkan tujuan mereka kepada keluarga masing-masing bagi memudahkan proses pemindahan organ setelah mereka meninggal kelak.
“Ada kes pengikrar tidak maklum kepada waris terdekat, jadi hasrat pengikrar untuk menderma organnya selepas meninggal dunia tidak kesampaian,” katanya. – BERNAMA