KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran di Malaysia setakat Ogos tahun ini berada pada paras 3.4 peratus, turun 0.1 peratus berbanding Julai 2017 dan Ogos tahun lalu.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan media berkata, kadar penyertaan tenaga buruh terkini di Malaysia 67.8 peratus atau 15.03 juta orang.
“Seramai 32.2 peratus atau daripada 7.14 juta penduduk umur bekerja 15 hingga 64 tahun berada di luar tenaga buruh iaitu suri rumah, pelajar, pesara, hilang upaya dan tidak minat bekerja,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penyertaan tenaga buruh pada Ogos 2017 juga naik 0.1 peratus berbanding Julai lalu dan Ogos tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC