HULU TERENGGANU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu akan menggembleng tiga teknologi – satelit, dron dan kamera litar tertutup (CCTV) – bagi tujuan penguatkuasaan dan pemantauan di 339 pulau di Tasik Kenyir.
Pengarahnya Aidid Tajuddin berkata gabungan tiga teknologi itu adalah yang pertama digunakan di Zon Bebas Cukai di negara ini dan dijangka dilaksanakan pada suku ketiga tahun depan.
Menurutnya kaedah itu dijangka dapat menjimatkan kos kerana dilaksanakan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan melibatkanya antara Agensi Remote Sensing Malaysia, Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia.
“Penggunaan satelit, dron dan CCTV akan melengkapkan lagi penguatkuasaan Tasik Kenyir yang selama ini dilakukan secara pemantauan fizikal menggunakan sumber tenaga pegawai JKDM Terengganu dengan rondaan bot.
“Melalui cara baharu ini, kami tidak memerlukan bot untuk membuat rondaan air. Ia akan menjimatkan penggunaan pegawai rondaan air dan rondaan darat yang kebiasaannya mengambil tempoh tiga atau empat hari untuk pemantauan menyeluruh,” katanya kepada Bernama di sini.
Aidid berkata selain memantapkan aktiviti penguatkuasaan, tiga peralatan canggih itu juga mampu mengatasi masalah kesesakan semasa pemeriksaan di pintu keluar yang sering berlaku di Tasik Kenyir ketika ini.
“Melalui kaedah baharu nanti, insyaAllah masalah itu akan berkurangan, malah mungkin terhapus sama sekali kerana kita hanya akan memeriksa kenderaan yang dikenalpasti lebih awal untuk diperiksa.
“CCTV akan beroperasi di kawasan berisiko manakala satelit dan dron akan merakamkan apa sahaja aktiviti yang berlaku di Tasik Kenyir mengikut tempoh yang ditetapkan seterusnya pegawai akan memaklumkan kepada pasukan penguat kuasa sekiranya berlaku sebarang pergerakan mencurigakan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran terbesar pihaknya dalam tugas penguatkuasaan di Tasik Kenyir yang berkeluasan 65,650 hektar itu, Aidid berkata pada awalnya mereka berasa agak sukar kerana ia perlu dilakukan 24 jam sehari tanpa tambahan pegawai.
“Walau kekurangan pegawai, namun melalui kaedah pengurusan pintar, akhirnya kami berjaya memulakan operasi pada 1 Ogos lalu.
“Semua pegawai dari KualaTerengganu, Kemaman dan Kerteh bertugas secara giliran di Tasik Kenyir dan mulai 11 Okt lalu kita berjaya membuat penempatan secara tetap dengan menggunakan sumber sedia ada daripada bahagian lain,” katanya. – BERNAMA