KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri meminta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengemukakan bukti dakwaan kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didalangi oleh sembilan ketua digelar ‘dragon’ selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan.
Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terbukti dakwaan itu benar.
“Saya minta badan bukan kerajaan seperti ini supaya membuat laporan polis. Saya bimbang akan keselamatan mereka sekiranya benar dakwaan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nur Jazlan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar tempatan mengenai pendedahan oleh Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan itu yang turut mendakwa kegiatan tersebut wujud sejak bertahun-tahun lamanya.
Nadzim turut mendakwa sembilan dragon itu mempunyai ‘kuasa’ dalam agensi penguat kuasa di negara ini selain mampu menukarkan penguat kuasa yang dirasakan mengganggu-gugat kegiatan mereka dalam tempoh 24 jam.
Sementara itu, dalam sidang media di sini, hari ini, Nadzim berkata bukti mengenai sembilan ketua digelar ‘dragon’ yang didakwa mendalangi kegiatan perjudian dan aktiviti tidak bermoral itu akan diserahkan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini minggu depan.
Beliau berkata PPIM telah dihubungi oleh pihak Bukit Aman setelah pendedahan mengenai kegiatan itu di media sosial sejak Rabu lepas.
“Kami akan menyerahkan semua maklumat yang berkaitan nanti (minggu depan),” katanya. – BERNAMA