KUALA NERANG – Kerajaan Kedah bertekad untuk membanteras habis-habisan pusat-pusat perjudian haram di negeri ini dalam usaha membendung aktiviti perjudian yang semakin membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata untuk itu, semua Pegawai Daerah akan dipanggil untuk menghadiri mesyuarat khas yang akan diadakan dalam mencari kaedah terbaik dan berkesan bagi menangani masalah yang kian berlarutan itu.
“Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat tersebut dalam masa terdekat ini…untuk itu saya akan panggil semua Yang Dipertua Majlis, Pegawai Daerah dan pihak polis untuk mencari kaedah terbaik supaya operasi yang kita adakan lebih efisien dan menepati sasaran,” katanya pada majlis pelepasan peserta Kejohonan Motor Lasak Endurance Puncak Janing Challenge di sini, hari ini.
Badrol Hisham berkata langkah itu juga bagi menyahut hasrat Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang mahu pusat-pusat perjudian di negara ini ditangani dan dihapuskan kerana memberi implikasi tidak baik kepada masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang beroperasi akan terus dipantau bagi memastikan mematuhi syarat yang ditetapkan sebelum ini.
“Kita juga akan pantau dan semak balik syarat-syarat yang ada dalam lesen PHK sama ada mereka mematuhi syarat atau tidak, jika didapati langgar kita akan tarik lesen mereka serta-merta,” katanya.
“Kita tak mahu bila kita bagi lesen simulator tetapi disalahgunakan lesen tersebut kerana implikasinya amat buruk terutama melibatkan anak-anak muda dan pelajar sekolah hingga mengabaikan pelajaran mereka,” katanya.
Sementara itu, Badrol Hisham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang berkata, perbincangan khas akan diadakan bersama Jabatan Perhutanan negeri untuk menjadikan litar motor lasak di Hutan Lipur Puncak Janing sebagai litar tetap bagi negeri Kedah.
“Selain mempromosikan Hutan Lipur Puncak Janing menerusi penganjuran ini, litar sepanjang 6.5 kilometer ini akan dijadikan litar tetap negeri Kedah bagi penganjuran sukan motorcross pada masa akan datang kerana ianya amat sesuai dan menyamai litar motor lasak antarabangsa,” katanya.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu Cub Cross Standard Endurance, CKD Cross Endurance, Cub Cross Open Endurance, Novice Endurance, Veteran Endurance dan Open Endurance.
Turut memeriahkan program itu ialah pertandingan menarik kereta dengan tali, menggolek tayar jentera berat, dan acara sepak raga tuju. – BERNAMA