KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan struktur rasmi Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Batang Kelapa Sawit (OPT) yang bakal melibatkan penyertaan rasmi daripada 18 agensi kerajaan merentasi kementerian, empat pemain industri perkayuan dan tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Sehubungan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengalu-alukan penglibatan IPTA dalam jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan OPT untuk merancakkan aktiviti dan meningkatkan keberkesanan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor perkayuan bernilai tambah.
Beliau berkata demikian di dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa OPT yang pertama, yang bertujuan untuk menyelaras dan menetapkan gerak kerja pembangunan Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan OPT secara komprehensif.
Hasil daripada mesyuarat ini juga, satu pelan pembangunan OPT yang komprehensif bakal diwujudkan sebagai dasar dan panduan dalam membangunkan produk berasaskan batang sawit pada masa depan, terutama dalam sektor perabot, kayu panel dan kayu berasaskan batang sawit.
Dengan adanya struktur organisasi serta pelan pembangunan OPT yang holistik, Mah berkata, kerjasama semua pihak akan dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan OPT sebagai sumber bahan mentah baharu.
“Pada masa ini, industri perkayuan berdepan dengan isu kekurangan bekalan bahan mentah memandangkan sumber dari hutan semula jadi bagi pengeluaran kayu semakin berkurangan.
“Selain itu, kayu getah bergergaji (KGB) yang merupakan 80 peratus bahan mentah kegunaan industri perabot juga semakin berkurangan. Adalah dianggarkan sebanyak 850,000 meter padu KGB diperlukan setahun bagi industri hiliran,” katanya.
Berdasarkan keluasan tanaman semula sawit sebanyak 84,000 hektar setahun, beliau berkata, bekalan OPT yang berpotensi dihasilkan adalah sebanyak 19 juta meter padu setahun.
Bekalan OPT ini boleh dijadikan bahan mentah kepada produk perkayuan seperti papan lapis, perabot, kayu bergergaji dan sebagainya.
Potensi yang boleh dijana dari penghasilan produk kayu berasaskan OPT ini dijangka bernilai RM1 bilion hingga RM2 bilion setahun, tambahnya. – BERNAMA