SETIU – Kerajaan sentiasa berusaha membuka peluang pekerjaan untuk membantu rakyat menjana ekonomi agar tidak terus terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata usaha kerajaan itu adalah antara tindak balas selepas mengambil kira rungutan rakyat mengenai isu kenaikan harga barang dan skim pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Soalan mengenai dua perkara ini menggambarkann masih ada lagi kemarahan dan kekeliruan dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan dan ia perlu diberi penerangan secara berhemah.
“Kita dengar rakyat rasa terkesan dengan kos sara hidup (yang tinggi), anak muda pula terkesan tentang pembiayaan pembelajaran, kerja sukar dapat sebab jumlah siswazah yang keluar (universiti) ramai, jadi kerajaan kena fokus selesaikan semua masalah ini demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Bicara Minda & Sesi Dialog Perjuangan For All malam tadi yang turut dihadiri Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman sebagai panel.
Mengulas lanjut, Annuar berkata apabila kerajaan berjaya meyakinkan rakyat bahawa isu-isu itu ditangani dengan serius, barulah rakyat akan mengundi lagi kerajaan sedia ada pada pilihan raya umum akan datang. – BERNAMA