SEREMBAN – Sebuah kilang memproses air batu di Kawasan Industri Ringan Senawang, dekat sini dilaporkan mengalami kebocoran gas ammonia, 5.05 petang tadi.
Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kejadian itu berpunca daripada kebocoran kecil dari bahagian tangki simpanan gas ammnonia akibat aktiviti penyelenggaraan yang dijalankan kilang itu.
“Pihak kami yang tiba 10 minit kemudian bersama lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Senawang telah memeriksa keadaan di kilang terbabit. Ia didapati berada dalam keadaan baik dan terkawal.
“Bantuan daripada pasukan Hazmat (Unit Bahan Berbahaya) seramai 10 anggota daripada balai Seremban 2 juga dibuat bagi menghentikan kebocoran gas ammonia. Tiada mangsa yang dilaporkan mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata susulan itu, kilang tersebut boleh mula beroperasi seperti biasa, selepas masalah kebocoran gas ammonia diselesaikan sepenuhnya. – BERNAMA