KOTA KINABALU – Kolej dan institusi kemahiran di Sabah perlu peka dengan perkembangan serta perubahan landskap pendidikan global bagi memastikan kursus ditawarkan kepada pelajar adalah relevan dengan keperluan dan cabaran semasa, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.
Mengambil contoh Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), Musa berkata penjenamaan kolej itu yang memberi fokus utama kepada kemahiran adalah tepat pada masanya dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Beliau turut memuji usaha KTYS dalam mempelopori pembelajaran akademik, teknikal dan kemahiran vokasional menggunakan model kokurikulum terkini seiring dengan sistem pendidikan negara yang menjadi satu jenama pendidikan lebih fleksibel.
“Saya percaya usaha dilakukan KTYS pastinya dapat menyumbang ke arah memartabatkan lagi pendidikan akademik, teknikal dan latihan kemahiran di Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen KTYS ke-22 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun selaku Exco Pendidikan negeri.
Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pengarah KKYS Sdn Bhd Datuk Kamal D.E Quadra.
Musa yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata yayasan tersebut menubuhkan KTYS dan Kolej Universiti Yayasan Sabah bagi memberi kemudahan pendidikan kepada anak-anak Sabah supaya mereka boleh mengikuti pengajian dan latihan kemahiran di peringkat lebih tinggi.
Katanya langkah itu juga adalah seiring dengan komitmen kerajaan negeri untuk melipatgandakan lagi usaha meningkatkan potensi pembangunan kerjaya dan kemahiran belia di Sabah.
“Bagi memacu kepesatan pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi, kita memerlukan rakyat khususnya golongan muda yang memiliki pengetahun serta berkemahiran tinggi,” katanya.
Pada majlis itu, Masidi turut mewakili Musa menyampaikan diploma dan sijil kepada 220 graduan KTYS dalam pelbagai jurusan dan kursus kemahiran. – BERNAMA