SELAMA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan meminda beberapa peraturan dalam Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) 2014 dan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 pada persidangan Parlimen akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pindaan akta SKM itu bagi membolehkan koperasi terutamanya koperasi yang berada di peringkat bawahan dapat bersaing di dalam mahupun di luar negara.
“Kita mendapati ada koperasi yang berjaya di peringkat pertengahan malahan ada yang masih bergantung dengan bantuan SKM. Saya percaya dengan pindaan Akta SKM itu akan memberi peluang koperasi bersaing,” katanya pada sidang media selepas menutup Tuisyen Rakyat@KKLW (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) di Sekolah Menengah Kebangsaan Redang Panjang di sini hari ini.
Hamzah berkata akta APD 2011 pula akan dipinda bagi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.
“Ini kerana kementerian melihat sebagai contoh, ada bengkel kenderaan yang tidak dikawal terutama harga barangan alat ganti dan barang-barang yang dibawa masuk termasuk patung yang tidak dipastikan kualiti dan standard.
“Melalui penambahbaikan itu, barangan dan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat mempunyai standard yang setanding dengan yang dikeluarkan di luar negara,” katanya. – BERNAMA