KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan kira-kira 100 jenis produk unit simpanan stok (SKU), termasuk produk berjenama, dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 (KR1M 2.0).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sasaran itu dijangka dapat dicapai menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan bersama syarikat multinasional dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana.
Sekurang-kurangnya 50 jenis produk yang akan dijual di KR1M 2.0 adalah barangan yang dapat kerjasama dengan syarikat multinasional seperti Nestle dan Coca-Cola.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) di Dewan Rakyat hari ini, yang ingin tahu jaminan kementerian bahawa KR1M 2.0 akan memberi lebih banyak pilihan produk pada harga lebih murah daripada pasaran.
Hamzah berkata berkata fasa pertama pelaksanaan KR1M 2.0 akan bertumpu kepada penjualan empat barangan keperluan asas iaitu beras, gula, minyak masak dan tepung yang lebih murah berbanding harga pasaran.
Katanya, pihaknya menyasarkan sebanyak 3,000 premis KR1M pada 2018. – BERNAMA