PASTI anda masih ingat lagi mengenai seorang pengguna Grab yang kisahnya pernah menjadi tular menerusi laman sosial, baru-baru ini.
Ini melibatkan luahan kurang selesa pengguna tersebut apabila menaiki kereta yang ditempah menerusi aplikasi perkhidmatan ‘e-hailing’ popular berkenaan.
Baca: Kritik Servis Grab, Lelaki Ini Dikecam Netizen
Susulan kejadian itu, pengguna Grab tersebut telah tampil memohon maaf secara terbuka dan menjadikan perkara ini sebagai pengajaran.
Pengguna Grab yang dikenali sebagai Ariff Shah berkata, dia meminta maaf kepada pihak yang berasa tersinggung berhubung kenyataan di laman Twitter miliknya.
“Saya mohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan kenyataan saya di Twitter, pemandu Grab dan mungkin juga pemilik Saga. Tiada niat untuk hina,” kata Ariff menerusi artikel di blognya.
Kenyataan pernah dikeluarkan Ariff sebelum ini sememangnya agak biadab dan dipertikai netizen. Bagi menjawab isu pertikaian itu, pemuda berusia 29 tahun ini menjelaskan bahawa keluhan itu tidak bermaksud ingin menghina.
Tetapi dia dipetik mStar Online berkata, hanya menjangkakan sebuah kereta jenis Vios model lama atau mana-mana model dalam ‘kelas’ yang sama datang untuk menjemput dirinya pada ketika itu dan bukannya Proton Saga.
“Terima FLX dan saya tidak batal dan tempah semula kerana saya memang tak buat macam tu. Cara saya adalah always to go with the flow.
“Kenapa tidak Grab dengan enam tempat duduk (6-seater)? Saya tidak perlukannya kerana hanya tiga orang yang naik dengan satu bagasi besar dan satu lagi bersaiz sederhana.
“Saya kemudian dapati Grab 6-seater ketika ini dikira sebagai pilihan Ekonomi. Kenapa tidak Premium? Kenapa saya perlukannya? Saya tidak ada status atau imej tertentu perlu dijaga,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ariff turut memberikan beberapa cadangan kepada syarikat yang mengendalikan perkhidmatan ini untuk membuat penambahbaikan agar dapat memenuhi kehendak dan keselesaan pelanggan.
Dengan adanya ramai pemadu Grab yang membawa pelbagai jenis model kereta, syarikat tersebut perlu mengambil kesempatan itu untuk menjana lebih pendapat.
Contohnya seperti mengembangkan lagi kategori GrabCar Economy sedia ada dengan menambah ciri pilihan jenis model kereta mengikut kehendak pengguna.
“Memang kita boleh batalkan tempahan sehingga dapat model kereta yang kita nak, tetapi hanya membazirkan masa. Sediakan pilihan dan kenakan caj kepada kami,” katanya.
Tambah Arif, dengan adanya ciri tersebut bukan sahaja akan menjana lebih pendapatan kepada Grab malah mampu memberikan kepuasan kepada pelanggan.
“Kelebihan di pihak pemandu adalah mereka akan kurang berdepan dengan pelanggan cerewet yang mahu bayar minimum untuk perkhidmatan premium,” tambah Ariff.
Sementara itu, Ariff berkata dia akan terus menggunakan Grab seperti biasa dan menyifatkan perkhidmatan berkenaan sebagai sesuatu yang bagus namun masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Sebagai ahli perniagaan, nasihat saya adalah anda boleh benci pelanggan anda, tetapi jangan benci wang mereka,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AM