KUALA LUMPUR – Larangan perjalanan ke Korea Utara yang dikeluarkan Kementerian Luar, tepat pada masanya demi keselamatan rakyat Malaysia, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
“Walaupun jumlah rakyat Malaysia ke negara itu sangat rendah, larangan itu sewajarnya dikeluarkan kerana ia membabitkan soal keselamatan apabila melancong ke negara yang mempunyai risiko tinggi seperti Korea Utara.
“Rakyat pastinya tahu negara tersebut telah melancarkan ujian nuklear baru-baru ini. Sememangnya faktor keselamatan sangat diambil kira dan penting dalam merancang perjalanan ke sesuatu destinasi,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sejajar dengan larangan itu, Mas Ermieyati percaya rakyat Malaysia akan lebih cenderung untuk ke negara-negara lain yang lebih selamat dan selesa termasuk ke sekitar Asia Tenggara khususnya sempena sambutan ulang tahun pertubuhan serantau yang ke-50 tahun ini.
Khamis lalu, Kementerian Luar mengeluarkan notis amaran perjalanan melarang rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke Korea Utara berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Semenanjung Korea dan perkembangan lain yang berkaitan ekoran daripada ujian peluru berpandu.
Larangan perjalanan itu akan disemak semula sebaik keadaan kembali pulih. – BERNAMA