WASHINGTON – Nilai kekayaan jutawan di Asia mengatasi jutawan di Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama pada 2016, dan keadaan itu mungkin akan kekal untuk tempoh empat tahun akan datang, menurut laporan dikeluarkan pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.
Laporan tahunan UBS Group dan PricewaterhouseCoopers (PwC) mendedahkan, kekayaan jutawan di dunia meningkat sebanyak 17 peratus, kepada US$6 trillion pada 2016 selepas menunjukkan kejatuhan pada tahun sebelumnya.
“Secara puratanya setiap dua hari, dua jutawan baharu muncul di Asia dengan jumlah jutawan Asia meningkat hampir seperempat hingga 637, berbanding 563 di AS,” menurut laporan itu.
Gabungan nilai kekayaan jutawan Asia pula, berkembang kira-kira sepertiga kepada US$2 trilion pada 2016, manakala kekayaan jutawan AS berjumlah US$2.8 trilion.
“Tahun ini turut menyaksikan bukan sahaja pertumbuhan dari sudut pulangan kekayaan jutawan tetapi juga peralihan ketara dalam dimensi geografi.
“Pertumbuhan dramatik kekayaan di Asia menunjukkan ia dapat mengatasi AS dalam masa empat tahun,” kata ketua Global Ultra High Net Worth di UBS, Josef Stadler. – BERNAMA