KUALA LUMPUR – Seorang pembantu pengurus di sebuah hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat komen bersifat jelik terhadap polis di laman sosial Facebook (FB), empat bulan lepas.
Christopher Khor Chee Ning, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan nama profilnya di laman FB secara sedar mewujudkan dan memulakan penghantaran komen jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Dia dikawa melakukan kesalahan itu di Blok B 12-06 PJS Apartment 1/35, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada jam 7.11 pagi, 10 Jun lepas.
Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman hyukuman penjara maksimum setahun atay denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, tidak membuat sebarang rayuan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta serahan dokumen. – BERNAMA