KOTA BHARU – Operasi mencari seorang lelaki yang dilaporkan hilang dihanyutkan ‘kepala air’ atau arus deras Sungai Kenerong di Dabong, Kuala Krai semalam diteruskan hari ini.
Zamri Abdullah, 44, dikatakan ke sungai berkenaan bersama isteri Norzalmawati Mat Nor, 43, dan adiknya, Zamzuki, 40, kira-kira 2 petang semalam bagi mencari batu di sungai itu untuk dijadikan batu nisan kubur arwah ibunya yang meninggal dunia tiga hari lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata paras air sungai itu katakan naik secara mendadak disusuli dengan arus kuat sehingga menyebabkan Zamri hanyut manakala Zamzuki dan Norzalmawati terselamat.
“Bomba menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu pada 4.16 petang dan tiba di lokasi kejadian pada 6.14 petang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata sebaik tiba pasukannya terus melaksanakan operasi mencari namun gagal menemui mangsa yang dipercayai sudah dihanyutkan arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan pada 7.10 malam berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, katanya.
Katanya operasi mencari diteruskan pagi tadi dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) jabatan berkenaan. – BERNAMA