“MAKIN pupuslah tapir dalam negara ni,” demikian antara luahan netizen yang kecewa apabila mendapati seekor lagi tapir ditemui mati di tepi jalan akibat dilanggar kenderaan.
Insiden tragis itu berlaku selepas haiwan liar yang dilindungi dan jarang dapat dilihat itu dilanggar lari di Jalan Jeli-Dabong, dekat Kampung Renyuk, Jeli, Kelantan awal pagi tadi.
Lapor Harian Metro, penduduk kampung memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas menemui bangkai haiwan terbabit kira-kira jam 7 pagi.
Mamalia itu dipercayai dalam perjalanan untuk mencari makanan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Soko Taku namun dirempuh ketika melintas jalan di kawasan yang gelap.
Apa yang menjadi topik perbincangan khususnya pengguna media sosial adalah kebimbangan tahap penurunan populasi haiwan liar terbabit sejak beberapa tahun lalu.
Difahamkan dalam tempoh dari 2010 hingga 2017, lebih 40 ekor tapir dianggar mati akibat dilanggar, ditambah pula insiden kematian seekor lagi ‘dibunuh’ secara tidak sengaja di Hulu Langat, Selangor minggu lalu.
Netizen dilihat kini seolah-olah cuba memberikan peringatan kepada pihak Perhilitan agar melakukan sesuatu dengan segera sebelum terlewat.
“Bulan ni kes tapir, harap tapir di luar sana berhati-hati lah jika nak keluar dari hutan… badi menunggu,” kata pengguna Facebook yang menggunakan nama Sayap Terluka.
“Kalau yang ni kena langgar, yang minggu lepas lak kena bunuh, makin pupus lah si tapir kalau terus tinggal kat Malaysia,” kata Aimanuddin Zakwan.
Manakala Syafiq Bakar menulis; “Kata ada duit berbilion-bilion…jalan raya pun tak boleh nak letak pagar tinggi? Kucing anjing segala haiwan lalu kat jalan raya kena langgar, apa nak jawab kat akhirat nanti?” – MYNEWSHUB.CC