KUALA LUMPUR – Malaysia bakal memiliki sebuah Pusat Kecemerlangan BMX Asia bernilai RM6.5 juta yang akan dibina di sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Selangor pada awal 2019.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samah Abd Wahab yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asia (ACA) menjelaskan pusat kecemerlangan tersebut dijangka menjadi venue kepada sebuah kejohanan bertaraf dunia pada 2019.
“Selain itu pusat kecemerlangan itu turut menjadi pusat Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk teknologi basikal di Malaysia.
“Saya sudah meminta kepada rakan industri tersebut agar membina trek yang memenuhi spesifikasi UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) termasuk mereka bentuk dua ram setinggi 8 dan 5 meter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
UCI memutuskan akan menghantar tenaga pengajar atau jurulatih bertaraf dunia ke pusat tersebut sebaik sahaja ia menerima sijil perakuan untuk memulakan operasi, jelasnya. – BERNAMA